Sejarah Sekolah





 Sekolah ini dinamakan Sekolah Menengah Dato’ Mustaffa bersempena dengan nama seorang tokoh politik daerah ini iaitu Dato’ Mustaffa bin Haji Jabar iaitu


SEJARAH RINGKAS PENUBUHAN


      Pada tahun-tahun 1960an kesedaran masyarakat Melayu terhadap pendidikan menengah khsusunya penduduk luar Bandar mula menunjukkan tanda-tanda positif. Ibu bapa mula merasakan anak-anak mereka perlu melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah.

    Atas kesedaran inilah masyarakat Kampung Pasir Panjang mula mengorak langkah. Pemimpin-pemimpin masyarakat setempat mula menyuarakan pandangan dan pendapat mereka kepada pihak-pihak berwajib tentaang betapa pentingnya sebuah sekolah menengah didirikan di Kampung Pasir Panjang. Antara pemimpin setempat yang terlibat dengan agenda ini ialah :

  1. Tuan Haji Lokman bin Yusof JP.
  2. Tuan Haji Omar bin Haji Said PJK. ( Ketua Kampung )
  3. Tuan Haji Ariffin bin Haji Mat Rawi SMS., PJK. ( Bekas    ADUN Selangor kawasan Sungai Panjang yang pada waktu itu   Penghulu Mukum Pasir Panjang )

Melalui institusi masyarakat setempat seperti AJK Kampung dan pertubuhan politik telah mula mempelopori desakan dan gerakan agar sebuah sekolah menengah ditubuhkan di Pasir Panjang.


SEJARAH PENUBUHAN


      Pada 15 Mac 1965 sebuah kelas ditubuhkan menumpang di Sekolah Kebangsaan Pasir Panjang dan dinamakan  Darjah Menengah Kebangsaan Pasir Panjang. Pelajar-pelajar yang terdiri daripada pelajar tempatan yang sedang belajar di Sekolah Dato’ Harun Tanjong Karang dan Sekolah Sungai Haji Dorani dikumpulkan untuk menjadi pelajar perintis.

   Kelas ini terdiri dari 30 orang pelajar lelaki dan perempuan dengan seorang guru iaitu Encik Sulaiman bin Mohd Dom yang juga pada waktu itu  sebagai seorang pengetua. Pada waktu yang sama bangunan sekolah mula dibina di atas tapak berhampiran yang dulunya merupakan padang bola Sekolah Kebangsaan Pasir Panjang.

     Pada tahun 1967 bangunan tiga blok tersebut telah siap dibina. Di awal tahun persekolahan 1967 bangunan baru mula digunakan menempatkan satu kelas tingkatan 3, dua kelas tingkatan 2 dan tingkatan 1. Pada masa itu sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Pasir Panjang. Pada tahun 1967 sekolah ini  buat pertama kali peperiksaan SRP (Sijil Rendah Pelajaran) dijalankan dengan pencapaian 64%.
 Pada tahun 1982 sekolah ini mempunyai 1,250 orang pelajar dan merupakan yang teramai dalam sejarahnya.


NAMA SEKOLAH

      Nama rasmi sekolah ini mengambil sempena nama seorang tokoh politik tempatan iaitu Mustaffa bin Haji Abdul Jabar yang pada waktu itu merupakan wakil rakyat Sabak Bernam.


     Kini YB Tan Sri Haji Mustaffa bin Haji Abdul Jabar DPMS., SPMS., JMN., AMN., JP. Adalah pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan.

     Sekolah Menengah Dato’ Mustaffa, Pasir Panjang telah dibuka dengan rasminya pada 7 Julai 1968 oleh YB Encik Khir bin Johari Al Haj iaitu Menteri Pelajaran Malaysia pada ketika itu.